Blogger Widgets

Sunday, 29 July 2012

LaGeNdA GuNuNg SaNtUbUnG


Jika dilihat dan diteliti Gunung Santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring. Gunung Santubong merupakan gunung legenda yang terletak 35km di utara bandar Kuching, Sarawak. Ia setinggi 810 meter, 2658 kaki persegi dari paras laut berada dikedudukan sebuah semenanjung di Buntal.Jika dilihat dari kejauhan ia amat mendamaikan dengan keadaan sekelilingnya sentiasa diselubungi awan dan kabus.
Gunung Serapi merupakan gunung legenda yang terletak 20 km di barat Bandar Kuching, Sarawak. Ia setinggi 911 meter atau 2600 kaki persegi dari paras laut dan berada dikedudukan banjaran Gunung Matang.
Berikut adalah dua versi legenda mengenai puteri santubong buat tatapan dan pengkisahan maklumat sejarah kita.

              Inikah yang dikatakan keajaiban gunung santubung yang berbentuk muka manusia...!!!!!

Versi 1
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang adalah dua puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang saudara lelaki mereka selepas ayahanda mereka, Sultan Brunei dibunuh di dalam satu komplot rampasan kuasa. Memandangkan tujuh putera ini ingin melarikan diri ke Tanah Melayu, mereka perlu menyeberangi Laut China Selatan maka mereka telah bersepakat meninggalkan kedua-dua saudara mereka di Bukit Santubong.
Penduduk kampung berasa hairan dengan kehadiran kedua-dua puteri tersebut kerana mereka tidak pernah melihat kedua-duanya ditambah pula dengan kecantikan mereka yang luar biasa. Mereka dianggap sebagai puteri yang turun dari kayangan. Penduduk kampung dan puteri-puteri ini hidup aman damai sehinggalah kedua-dua mereka bergaduh dan berbunuh kerana menganggap seorang lebih cantik dari seorang lagi. Oleh itu, timbullah legenda Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.
Kembali kepada tujuh bersaudara itu pula, mereka telah meneruskan pelayaran mereka sehinggalah mereka sampai di Pulau Pinang menaiki burung bayan. Setelah mendarat mereka mencari tempat tinggal. Semasa di Pulau Pinang burung bayan yang ditunggang telah terlepas maka dari situlah Bayan Lepas di Pulau Pinang mendapat namanya. Difahamkan carta organisasi salasilah keturunan ini masih wujud di sana.
Versi 2
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.
Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.
Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai. Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua –dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.
Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.
Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.
Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.
Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera . Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.
Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran
Versi legenda ini lebih diterima sehingga memberikan ilham kepada Tuan Haji Madeli Johari, bekas pengarah RTM Sarawak untuk mencipta lagu Puteri Santubong seperti di bawah. Buat mereka yang rajin menghayatinya, dilampirkan juga versi Bahasa Melayu Baku.

No comments:

Post a Comment